KEMPEN TABUNG PAHLAWAN
1 Kempen Tabung Pahlawan (KTP) mula dilaksanakan pada tahun 1950 oleh Ex Service Association of Malaya (Persatuan Bekas Tentera Malaya) pada ketika itu di bawah teraju bekas Tentera British di Malaya. KTP pada awalnya dikenali sebagai “Poppy Day” sebelum ditukar kepada “Rayuan Hari Pahlawan” selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, di mana lambang bunga Poppy telah ditukar dengan lambang Bunga Raya. Kerajaan telah melantik dan mengiktiraf PVATM sebagai kastodian Tabung Pahlawan sejak dari tahun 1950. Mengikut tradisinya, Penaung KTP ialah isteri kepada YAB Perdana Menteri dan Penasihat adalah YB Menteri Pertahanan.
2 Pada tahun 2013, Tabung Pahlawan telah menjalani proses penjenamaan semula di mana nama Rayuan Hari Pahlawan telah ditukar kepada “Kempen Tabung Pahlawan”, dan beberapa pendekatan dan kaedah baharu telah diperkenalkan untuk meningkatkan jumlah kutipan di samping memberi kesedaran kepada rakyat jelata betapa perlunya mereka memberi sumbangan sebagai tanda mengingati dan menghargai perjuangan dan pengorbanan Veteran ATM dalam menentang serta menghapuskan pengganas komunis semasa era Darurat I (1948-1960) dan Darurat II (1968-1989).
3 Bermula dari tahun 2013, hasil kutipan sumbangan Kempen Tabung Pahlawan ditumpukan kepada perbelanjaan aktiviti kebajikan sepenuhnya. Fokus utama aktiviti kebajikan terkordinasi yang dilaksanakan adalah:
3.1 Memberi bantuan kebajikan tahunan kepada Veteran Kelainan Upaya (VKU) dan Veteran mengidap penyakit kronik yang terlantar di atas katil (bermula tahun 2013).
3.2 Memberi bantuan kebajikan tahunan kepada Balu Veteran dalam kategori OKU (bermula tahun 2017).
3.3 Memberi bantuan Elaun Sara Hidup Bulanan kepada Bekas Tentera dan Balu Bekas Tentera yang sangat daif yang tidak layak menerima bantuan dan kemudahan kebajikan yang disediakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di Kementerian Pertahanan (bermula tahun 2013).
3.4 Memberi bantuan segera dalam bentuk wang tunai kepada Veteran dan Bekas Tentera serta Balu mereka yang terlibat dalam musibah dan bencana alam; seperti ribut taufan, kebakaran rumah dan musibah banjir.
3.5 Memberi bantuan segera peralatan perubatan yang asas kepada VKU, Bekas Tentera serta Balu yang cacat; seperti tongkat dan kerusi roda sekiranya diperlukan.
3.6 Memberi bantuan kewangan tahunan kepada asrama anak yatim Veteran ATM di Kulim Kedah (kesemuanya anak yatim Veteran ATM) (bermula tahun 2016).
3.7 Memberi bantuan kebajikan tahunan kepada anak Veteran yang dalam kategori OKU (Bermula tahun 2018)
3.8 Memberi bantuan pengurusan jenazah Bekas Tentera kepada waris yang menguruskan jenazah mereka (bermula tahun 2018).
4 Sumbangan kepada Tabung Pahlawan dikecualikan dari cukai pendapatan sejak tahun 1950. Hasil kutipan Tabung Pahlawan dibelanjakan secara telus dan berhemah. Akaun Tabung Pahlawan diaudit oleh Juru Audit Bertauliah pada setiap tahun dan lapuran audit dimajukan kepada LHDN yang mengeluarkan kelulusan pelepasan cukai dan PDRM yang mengeluarkan permit kutipan.
5 Sumbangan kepada Tabung Pahlawan “Walau Sekecil Manapun, Besar Pengertiannya” dapat diterjemahkan sebagai penghargaan kepada Veteran ATM (Pahlawan-Pahlawan Negara) yang telah berkorban tenaga, keringat dan darah dalam menjaga dan mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara dari ancaman musuh.
“Sekecil Manapun, Besar Pengertiannya”






























