PVATM NEGARA
|
TUGU NEGARA Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) adalah merupakan sebuah persatuan yang tertua di Negara ini. Mula ditubuhkan pada 20 Mei 1922, dengan nama Ex-Services Association of Malaya (ESAM) dan telah diterima menjadi Ahli Gabungan “British Empire Services League” pada 22 Mei 1922. Mengikut rekod inisiatif untuk menubuhkan persatuan ini dilakukan oleh bekas-bekas anggota tentera British dan beberapa buah negara Eropah yang pernah berkhidmat ketika perang dunia pertama di negara ini. Mereka ini juga turut disertai oleh pegawai-pegawai ekspatriat British yang berkhidmat di Malaya.Pada awal penubuhannya pertubuhan ini diketuai oleh Mr. F.W. Palmar sebagai Pengerusi Cawangan Selangor. Pada ketika itu persatuan ini ditubuhkan bagi membolehka ahli-ahli bergerak dalam kegiatan sosial sahaja. Malangnya persatuan ini terpaksa dibubarkan apabila perang dunia kedua meletus. Persatuan ini digerakkan semula pada tahun 1946 di Selangor dan kemudiannya dituruti oleh beberapa cawangan di Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang , Alor Setar, Kota Bharu dan Melaka. Apabila tentera british mula berkembang di Singapura dan Malaya dan dengan tertubuhnya Batalion Pertama RAMD pada 1933, ramai anak watan turut menceburi bidang ketenteraan. Mereka inilah yang menjadi benteng pertahanan negara semasa berlakunya perang dunia kedua, begitu juga dengan Pasukan Federation of Malaya Volunteer Force (FMVF), force 136, Area Security Unit (ASU), Jungle Squad dan pasukan-pasukan kawalan kampong (Home Guard) ketika darurat (1942-1948). sejak itu bilangan bekas-bekas anggota tentera bertambah ramai dan turut menyertai persatuan ini.Pada 1958 British Service League telah menukar namanya kepada British Commonwealth Ex-Services League (BCEL) dan PBTM turut menjadi Ahli gabungan sehingga sekarang . sejak persatuan ini digerakkan semula sehingga 1968, sebuah urusetia telah dibentuk dan pentadbirannya telah diubahsuai, segala urusan pentadbiran dan urusan mesyuarat persatuan dilaksanakan oleh sebuah firma setiausaha yang dilantik iaitu ” Walgrems Limited”. Menerusi urusetia inilah persatuan ini telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan pada tahun 1966 dengan nama Persatuan Bekas Perajurit Malaya.Sekretariat diwujudkan oleh seorang Setiausaha Agung Mej (B) Ismail bin Babu dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan dan terus berkembang dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan persatuan termasuk pentadbiran terutama dalam menguruskan hal-hal kebajikan ahli-ahli dan tanggungan mereka. Pada tahun 1967, dua buah lagi negeri telah diterima menjadi ahli gabungan ini, iaitu Sabah dan Sarawak dan selepas itu nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM). Mengikut rekod pada penghujung 1959, jumlah ahli persatuan ini hanyalah seramai 2,607 orang, namun bilangan ini bertambah kepada 7,442 (1970) dan 16,257 (1974). Urusetia atau sekretariat PBPM telah mula bergerak dengan pesat selaras dengan pembangunan dan perkembangan persatuan. Sejak itu sambutan serta sokongan daripada kerajaan, sektor awam dan sektor swasta telah meningkat dari masa ke semasa sehingga membolehkan PBPM bergerak sebagai sebuah badan kebajikan yang terunggul di Malaysia. Selaras dengan pembangunan dan kemajuan PBPM kini sudah berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang terunggul di Negara ini. Nama Persatuan ini sekali lagi telah ditukar kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada 28 Julai 1998. PBTM kini mempunyai 14 bahagian dan 200 cawangan di seluruh Negara, dan jumlah ahli yang mendaftar sehingga tahun 2011 ialah seramai 146,099 orang. PBTM kini telah bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan berikut: a. World Veteran Federation (WVF) b. Royal Commonwealth Ex-Service League (RCEL) c. Veteran Confederation of ASEAN Countries (VECONAC) d. Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) e. Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) |































